Ummah Islamiah Malaysia

Justice for Malays

Search UIM

Saturday, 23 May 2020

Bukankah rakyat dan negara akan menjadi mangsa bila pemimpin negara bermuka-muka?

0 comments


Sifat bermuka-muka terhadap orang lain sebenarnya lebih dekat kepada sifat munafik. Mungkin ramai yang menganggap perbuatan bermuka-muka ini perlu ada pada seseorang terutamanya ahli politik untuk terus ‘hidup’ dalam dunianya tetapi sifat ini sebenarnya mendekati sifat munafik yang dibenci Allah s.w.t. Ungkapan “talam dua muka” sering digunakan untuk melabel individu-individu yang khianat atau belot kepada orang lain melalui percakapan mahupun perbuatan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a. tentang manusia ‘bermuka dua’ yang memberi maksud:
“Kalian mendapati bahawa orang yang paling buruk di antara manusia adalah orang yang bermuka dua, datang kepada satu golongan dengan satu muka dan pada golongan yang lain dengan muka yang lain.” [HR. Ahmad]
Hadith di atas tidak bermaksud mempersoalkan manusia mempunyai dua muka secara fizikal, tetapi mereka yang berpelakuan lain dan berubah-ubah apabila berhadapan dengan orang yang berlainan, terutama dengan niat buruk dan untuk kepentingan sendiri. Dalam dunia politik, perlakuan ini sering dilihat pada peribadi pemimpin-pemimpin yang kejar dunia dan kuasa. Amatlah menyedihkan lagi bila ini dilihat wujud pada diri pemimpin utama negara. Demi kepentingan dan keuntungan peribadi, rakyat Malaysia dikaburi oleh kenyataan dan perbuatan pemimpin utama negara sehinggakan rakyat menjadi keliru dan berasa ‘terperangkap’. Sebagai contoh, nama-nama seperti Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin disebut-sebut setiap hari kerana berlakunya kemelut politik negara, meskipun negara masih lagi cuba menangani isu ekonomi dan kesihatan yang membimbangkan. Setelah dilantik menjadi perdana menteri, rakyat semakin lupa bahawa Muhyiddin Yassin bukanlah calon pilihan mereka, manakala rakyat pula semakin letih dengan kerenah Tun Mahathir yang tidak henti-henti cuba menentang.

Sedihnya, dalam masing-masing cuba pertahankan pengaruh dan kuasa, mereka berkata dan berperilaku yang bertentangan apabila berhadapan dengan pihak yang berlainan. Muhyddin Yassin mendakwa beliau tidak berpolitik di waktu wabak Covid-19, tetapi semakin hari semakin ramai ahli politik berpindah sokongan kepada beliau setelah ramai yang ditawarkan jawatan istimewa dalam badan kerajaan. Tun Mahathir pula secara terbuka sering mengeluarkan kenyataan yang menyalahkan Muhyiddin Yassin dan pihak lain atas kekusutan parti sendiri tetapi bertindak dan berkata sebaliknya di belakang rakyat. Ya Tuhan, bagaimanalah rakyat boleh terus percaya pada pemimpin sebegini? Bukankah rakyat dan negara terus menjadi mangsa kepada perebutan dan kegilaan kuasa pemimpin yang bermuka-muka sedang negara diuji dengan wabak penyakit? Mengapakah ini harus berlaku?

No comments:

Post a comment

Watch our videos on Youtube